Wahai Pemimpin..!! Berpuasalah Untuk Mengatasi Gawat Ekonomi, Bukan Menaikkan GST
Wahai Pemimpin..!! Berpuasalah Untuk Mengatasi Gawat Ekonomi, Bukan Menaikkan GST
Sekian lama desas desus tentang kenaikan GST kepada 8% bertiup dan kerajaan sentiasa menafikannya.
Kini berita itu mula ditiup oleh lidah-lidah yang pro-kerajaan sendiri. Alasannya adalah untuk menampung perbelanjaan yang tinggi bagi mengimbangi kekurangan pendapatan kerajaan akibat kegawatan ekonomi.
Hasil kajian SPRM, 90% syarikat swasta mengatakan perniagaan dengan pihak kerajaan harus melibatkan rasuah. Sehingga artikel ini ditulis, kenyataan SPRM itu masih diulang-ulang oleh berita AWANI.
Acara berunsur 'pesta' yang bersifat lagho dan membazir anjuran kerajaan masih berleluasa di sana sini tanpa henti. Larian sana, zumba sini, konsert sana, konsert sini... dan entah apa-apa lagi.
Berbilion ringgit dana rasuah baru sahaja didedahkan oleh SPRM hasil tangkapan 2 individu. Untuk mengira ratusan juta wang tunai yang dirampas pun mengambil masa berminggu-minggu. Itu tidak termasuk pelbagai aset mewah, barang kemas dan wang tersimpan di akaun yang tidak diberitahu. Itupun sudah dilepaskan dari reman hanya dengan wang cagaran RM500 ribu.
SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA
Si yatim dan miskin kian tidak berupaya menanggung rasa sebagai pengguna. Sudahlah hidup susah, kini terbeban dengan GST pula.
Kami di RPWP juga tidak terkecuali. Sudahlah terpaksa mencari dana sendiri, malah sanggup bekerja sepanjang hari dan tahun tanpa gaji dan cuti, kini terpaksa pula menanggung PELBAGAI CUKAI termasuk GST.
Bayangkan jumlah perbelanjaan sekitar RM200 ribu sebulan. Ada kalanya melebihi RM300 ribu. Semua hasil perniagaan wakaf harus disalurkan untuk perbelanjaan itu.
Berita kenaikan tol di semua lebuh raya juga sedang bertiup kencang. Jumlah kenaikan kali ini pula amat LUAR BIASA...
Astaghfirullahaladziim...
Setiap kali membayar cukai hati kami merintih. Pengorbanan dan jimat cermat kami yang terpaksa bekerja tanpa gaji dan cuti ini terpaksa disalurkan untuk cukai yang amat membebankan. Di suatu sudut, ada manusia yang bermewah-mewahan membelanjakan wang negara.
Dalam suatu soal selidik sebelum GST dilancarkan, ada kami utarakan agar dirangka satu mekanisma bagaimana golongan miskin dan asnaf boleh dilepaskan dari bebanan ini. Namun cadangan itu seperti tidak diperduli, mungkin juga tidak dibaca sama sekali.
Kali ini sekali lagi ingin kami rayu agar pihak kerajaan sendiri merangka tindakan BERPUASA.
Jangan rakyat yang sudah kurang makan ini yang digesa-gesa untuk berpuasa, sedangkan pegawai kerajaan meneruskan budaya pembaziran dan rasuahnya.
Sekali lagi kami pohon agar dirangka satu mekanisma agar ada peruntukan REBAT untuk golongan fakir miskin, NGO dan badan kebajikan seperti kami.
Rayuan marhaen,
Sumber: Warga Prihatin
Tiada ulasan