• Drama Kerana Anisa lakonan Zara Zya dan Mustaqim Bahadon

    Samarinda Kerana Anisa

    Terbaru di Slot Samarinda, drama Kerana Anisa bakal menemui penonton bermula Isnin ini, 9 Januari 2017, jam 10 malam di TV3. Drama terbitan Enuja Sdn Bhd ini diarahkan oleh Jamal Khan.

    Pelakon Kerana Anisa

    • Zara Zya
    • Mustaqim Bahadon
    • Fahrin Ahmad
    • Sura Sujangi
    • Aman Graseka
    • Ellie Suriaty
    • Uqasha Senrose
    • Syaffiq Sahli

    Impian murni seorang remaja perempuan untuk menjadi peguam dan berbakti kepada masyarakat tidak kesampaian apabila ditentang bapanya sendiri.

    Siapa mampu menolak permintaan keluarga apabila segala-galanya sudah diatur dan dipaksa bernikah pula pada usia muda dengan jejaka bukan pilihan hati?

    Bukankah setiap manusia itu berhak diberi kebebasan untuk memilih jalan hidup dan cinta yang hadir pula perlu lahir dari hati tanpa dipaksa atau dijolok dengan kemewahan?

    Episod 1Episod 2Episod 3Episod 4Episod 5Episod 6Episod 7
    Episod 8Episod 9Episod 10Episod 11Episod 12Episod 13Episod 14
    Episod 15Episod 16Episod 17Episod 18Episod 19Episod 20

    Sinopsis Drama Kerana Anisa

    Kerana Anisa mengisahkan Anisa dan Syukri yang berkawan baik di kampung. Anisa mempunyai impian besar dalam hidup apabila bercita-cita menjadi peguam dan meminta Syukri menjadi ‘guru’ dan penguat semangatnya.

    Bagaimanapun, bapa Anisa, Long Yahya menentang persahabatan Syukri dan Anisa. Selepas Anisa tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syukri berangkat ke London untuk menyambung pengajian namun mereka meneruskan hubungan menerusi surat.

    Satu hari, Anisa dikejutkan dengan rombongan peminangan daripada Zahid. Anisa menentang kerana mahu meneruskan pelajaran kerana dia lulus cemerlang dalam SPM. Bagaimanapun, Anisa dipaksa berkahwin dan selepas berkahwin, Zahid bertindak kejam terhadap zahir dan batin Anisa.

    Malah, Zahid makin menyakiti Anisa terutama selepas mendapat tahu hubungan Anisa dengan Syukri.

    Komentar

    Sarat dengan drama dan konflik yang pastinya meragut setiap jiwa yang menonton, drama bersiri 15 episod ini bakal membuatkan penonton tidak senang duduk selain ternanti-nanti episod demi episod.

    Menurut Zara yang membawa watak utama sebagai Anisa, dia mengakui kali ini banyak bermain dengan emosi dalaman selain menuntutnya melakonkan banyak babak menangis.

    “Anisa seorang perempuan yang mempunyai misi dalam hidup. Namun akibat tentangan bapa, dia tidak dapat meneruskan impiannya untuk menjadi peguam malah dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya.

    “Biarpun dia mencintai lelaki seusia dengannya, namun dia terpaksa akur berkahwin dengan seorang lelaki kaki pukul selain diseksa bagai binatang.

    “Biarpun Anisa kuat menjalani kehidupan mendatang tetapi dia banyak memendam perasaan kerana melalui pengalaman hitam yang menyeksakan.

    “Terus terang, saya ‘ letih’ dalam menjayakan watak ini kerana ia benar-benar menguji kemampuan saya sebagai pelakon. Selain itu, ia juga memerlukan saya menangis setiap hari.

    “Bagaimanapun saya sangat teruja membintangi drama ini kerana skripnya yang sangat membantu menjiwai karakter ini dengan baik. Selain itu, ia juga akan membuatkan penonton ternanti-nanti apakah yang akan berlaku seterusnya berbanding drama adaptasi novel yang sudah diketahui pengakhiran jalan cerita itu,” katanya.

    Ditanya mengenai hero drama terbabit yang masih ‘hijau’ dalam industri seni lakonan iaitu Mustaqim Bahadon, Zara berkata, dia sukar untuk menilai kemampuan lakonan pelakon itu sebelum drama itu ditayangkan.

    “Ini adalah drama kedua kami berlakon bersama. Sebenarnya susah nak nilai kemampuannya kerana saya perlu menontonnya terlebih dahulu. Ini kerana, berlakon depan mata dan menonton di TV sangat berbeza. Namun apa yang boleh saya katakan, dia tidak malu untuk belajar selain kami senang melakukan setiap babak bersama,” katanya.

    Mustaqim yang kali pertama memegang watak utama berkata, dia mengharapkan lakonannya sebagai Syukri tidak mengecewakan penonton.

    “Saya akui pembabitan dalam bidang ini masih baru dan belum cukup mantap, malah rasa diri belum cukup layak untuk memegang watak utama tetapi apabila diberi peluang saya buat sehabis baik,” katanya.

    Menurut Mustaqim, tawaran membintangi drama ini datang pada saat-saat akhir dan dia bertuah mendapat tunjuk ajar daripada semua pihak.

    “Mungkin sudah tertulis rezeki saya dalam drama ini. Selepas menerima tawaran berkenaan saya cuba serap watak Syukri walaupun saya akui watak hero ini bukan satu tugas yang mudah kerana penonton akan melihat sejauh mana kemampuan lakonan saya apabila digandingkan dengan Zara.

    “Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun pada mulanya saya sedikit gementar untuk berlakon dengan Zara,” katanya.

    Dalam pada itu, Sura yang membawa watak jahat sebagai Adora berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk melihat respons penonton terhadap lakonannya.

    “Drama ini adalah kali ketiga saya membawa watak jahat atau antagonis. Bagi saya, watak jahat sememangnya mencabar kerana mempunyai banyak ‘mood’ supaya ada kelainan. Kali ini, saya membawakan watak sebagai wanita kaya yang sosial di luar negara. Dia kemudian kembali ke Malaysia untuk mendapatkan semula bekas suaminya.

    “Saya suka bawa semua watak dan sebagai pelakon perlu pandai membezakan watak yang dibawa supaya tidak dilihat sama,” katanya.

    Saksikan nanti drama Kerana Anisa yang menggantikan Cita Lara Ameena, setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam di TV3.

    Tiada ulasan

    Post Top Ad