SAYU !! "Anak Puan OKU, Tak Sesuai Sekolah di Sini"
SAYU !! "Anak Puan OKU, Tak Sesuai Sekolah di Sini" Aku dulu pernah mengalami kejadian seperti yang tertera dalam gambar ini. Air mata automatik mengalir sebaik saja membaca status itu.
Waktu kecil dulu, aku selalu menangis sebab cemburu dengan sepupu sebelah rumah, sebab dapat pergi sekolah. Setiap pagi aku berada di luar pintu rumah sambil melihat sepupu aku naik bas sekolah, sambil berkata dalam hati,
"Bilalah aku dapat pergi sekolah.."
Perkara ini menjadi habit kerana hampir setiap pagi aku buat perkara yang sama. Antara alasan mengapa ibu dan ayah tak daftarkan aku di sekolah kerana mereka takut aku akan dibuli, disakiti dan dipukul oleh budak-budak normal yang lain.
Banyak kali aku cuba meminta untuk pergi sekolah, tetapi ibu dan ayah selalu beri alasan yang sama. Aku terima alasan itu kerana mereka sangat sayang dan melindungi aku. Begitulah sakitnya perasaan seorang budak yang berusia 6 tahun, berkeinginan tinggi untuk pergi ke sekolah, tetapi tidak kesampaian. Hanya bertemankan sebuah buku dan sebatang pensel di rumah bagi mengubati rasa hati yang sangat pedih, sebab tidak dapat pergi ke sekolah.
"Anak Puan OKU, Tak Sesuai Sekolah di Sini"
Setahun berlalu, akhirnya aku kembali menghasratkan niat aku kepada ibu dan ayah, untuk meminta keizinan daftarkan aku ke sekolah. Pada usia 7 tahun, aku sudah mampu berfikir matang. Doa demi doa, harapan demi harapan, akhirnya mereka bersetuju untuk menghantar aku ke sekolah.
Aku gembira kerana penantian dan keinginan aku selama setahun akhirnya tercapai. Tidak terkata betapa gembiranya bila aku pakai seragam sekolah. Hanya Allah saja yang tahu.
Akhirnya, ibu hantar dan daftarkan aku di sekolah. Sewaktu mendaftar diri, aku terdengar salah seorang kakitangan yang berurusan dengan ibu berkata,
"Puan, saya tidak dapat menerima anak puan bersekolah di sini kerana anak puan, OKU. Tidak sesuai sekolah di sini. Nanti jika ada apa-apa yang berlaku, kami yang susah," katanya.
Ayat itu masih terpahat di hati sehingga ke hari ini. Ayat yang benar-benar membuatkan hati aku dan ibu terluka pada masa itu. Dengan rasa kecewa dan sedih, kami pun pulang ke rumah kerana aku tidak dapat bersekolah. Hampir setiap hari aku menangis dan terus menangis setiap kali merenung pakaian seragam sekolah yang tak sampai sehari pun aku pakai. Hanya ibu sahaja yang sentiasa berada di samping aku dan memujuk aku agar bersabar dan berkata aku masih boleh belajar walaupun duduk di rumah sahaja, tetapi mungkin tidak sama suasana seperti di sekolah yang punya ramai kawan-kawan, belajar di hadapan cikgu dan lain-lain.
Selang beberapa hari kemudian, aku sedar aku tidak boleh terus berada dalam keadaan begini. Aku tahu kemampuan aku dan yakin aku nak bersekolah juga. Aku pujuk ibu untuk daftarkan aku ke sekolah. Ibu dengan berat hati menerima pujukkan aku walaupun masih terkesan dengan kejadian sebelum ini, kerana bimbang perkara itu berulang buat kali kedua.
Percubaan kali kedua kami mendapat berita baik di mana aku didaftarkan di sekolah yang normal. Begitu hebatnya perancangan Allah dengan menguji aku dengan percubaan pertama.
Dari saat itu, aku dan ibu belajar banyak sangat perkara. Antaranya, jangan pernah berputus asa untuk mendapatkan sesuatu yang baik. Kegagalan itu perkara yang biasa tetapi apabila disaluti dengan usaha yang tidak pernah berputus asa, pasti akan mendatangkan kejayaan yang luar biasa.
Pada usia yang masih kecil, Allah sudah menguji aku untuk tidak berputus asa dengan kehidupan. Begitulah kehidupan di sekolah seperti budak-budak normal yang lain, aku dapat menjalani sesi pembelajaran tanpa sebarang masalah.
Aku dianugerahkan ibu bapa yang sangat tabah dan sahabat-sahabat yang banyak membantuku sehinggalah aku berjaya seperti sekarang. Aku berjaya masuk universiti dan mempunyai pendapatan sendiri walaupun masih berada di kampus. Allah yang Maha Besar dan Maha Kuasa mengatur perjalanan seorang hambaNya yang kurang upaya dengan baik. Sentiasa ada pertolongan dariNya di saat aku memerlukan.
Bagi ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak OKU, jangan pernah malu, apatah lagi berputus asa dengan insan itu. Insan OKU yang dilahirkan itu adalah anugerah dari ilahi dan sumber keberkatan di dalam keluarga. Percayalah insan itu mampu membahagiakan kalian suatu hari nanti yang tidak mampu dilakukan oleh segelintir anak-anak kalian yang sempurna.
Juga sedikit pesanan buat individu-individu yang berada di dalam pengurusan pendaftaran pendidikan, sektor-sektor pendidikan dan warga yang bergelar pendidik dan yang sewaktu dengannya. Jangan pernah menolak insan-insan OKU yang ingin bersekolah. Jangan pernah menghalang keinginan, apa lagi menyekat kejayaan mereka. Mereka juga layak untuk berjaya. Mereka mampu membuat sesuatu seperti insan yang sempurna boleh lakukan, malah lebih lagi daripada itu.
Insan yang OKU ini memang pada zahirnya cacat. Penyesalan terbesar yang kalian lakukan dalam hidup adalah, kalian adalah salah seorang yang menghalang insan OKU ini berjaya.
Sekadar perkongsian realiti sebagai pendoman hidup dan pengajaran buat semua. - Mahasiswa OKU, Muhammad Zahrin Ahmad | The Reporter
Tiada ulasan