Apa Itu Tanah Lot Lidi? Lihat Risiko Jika Beli Tanah Ini
Apa Itu Tanah Lot Lidi? Lihat Risiko Jika Beli Tanah Ini
KEGHAIRAHAN untuk memiliki tanah pada harga yang murah, mendorong segelintir dari kita tidak mengambil peduli status aset terbabit.
Antara yang mendapat sambutan dan aktif dijual di pasaran adalah tanah lot yang belum ada geran individu berasingan atau lebih popular dikenali sebagai lot lidi.
Lot lidi merujuk kepada tanah lot yang masih berstatus pertanian dan belum mempunyai geran individu berstatus bangunan, tetapi dijual sebagai lot bangunan, hanya berdasarkan kepada pelan lakaran yang belum diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Apa Itu Tanah Lot Lidi? Lihat Risiko Jika Beli Tanah Ini
Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI), Salkukhairi Abd Sukor, ramai yang beranggapan membeli tanah lot lidi adalah berbaloi kerana harganya lebih murah berbanding tanah yang sudah memiliki geran individu berasingan
Katanya, antara masalah yang biasa timbul terhadap pembeli tanah lot lidi kerana terdedah kepada unsur-unsur penipuan, penyelewengan dan perbalahan dengan penjual.
1. Sukar Dipindah Milik
"Kebanyakan penjual menjanjikan bahawa tanah lot akan menjadi milik pembeli selepas bayaran dijelaskan secara tunai. Pembeli dijanjikan akan mendapat geran individu dalam tempoh tertentu.
"Bagaimanapun, sebaliknya berlaku dan yang menjadi mangsa adalah pembeli," katanya ketika dihubungi baru-baru ini,
Menurutnya, terdapat beberapa risiko yang bakal dihadapi pembeli kesan daripada pembelian tanah lot lidi.
2. Nama Tiada Dalam Geran Tanah
"Ketiadaan geran individu yang berasingan, bagaimanakah tanah lot itu boleh dipindah milik kepada nama pembeli?.
"Di bawah Kanun Tanah Negara, hak dan kepentingan pembeli terhadap sesuatu hartanah hanya akan diiktiraf undang-undang selepas ia didaftarkan pindah milik kepada nama pembeli dan sekiranya ini tidak berlaku bagaimanakah hak dan kepentingan pembeli terhadap tanah lot lidi itu boleh dilindungi undang-undang.
"Kesannya, hak dan kepentingan terhadap tanah itu masih boleh dipertikaikan atau dicabar mana-mana pihak di kemudian hari. Selain berdepan risiko kerugian kerana tidak dapat membangunkan tanah yang dibeli," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambahnya, selain itu risiko yang dihadapi pembeli lot lidi tidak mengetahui kedudukan sebenar tanah kerana belum disahkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara (JUPEN).
"Di atas kertas anda mungkin tahu lot anda namun di tapak, tanpa geran individu yang berasingan, mustahil anda dapat sahkan dimanakah kedudukan sebenar lot anda itu," katanya.
Selain itu, pembinaan rumah tidak boleh dilakukan di atas tanah lot lidi tanpa kebenaran PBT.
3. Siapa Kata Boleh Bina Rumah?
"Kelulusan pelan bangunan diperlukan sebelum sesuatu bangunan kediaman boleh didirikan biasanya PBT akan melihat dahulu geran individu tanah lot itu.
"Justeru, untuk tanah lot lidi, adalah mustahil pelan bangunan itu akan diluluskan PBT kerana ia tidak ada geran individu yang berasingan berstatus bangunan kediaman," katanya.
Bukan itu sahaja, tanpa geran sudah pasti tanah ini juga tidak boleh digadaikan kepada bank untuk dapatkan pembiayaan.
"Selain itu, tanah ini juga tidak boleh diwariskan kepada waris apabila pembeli meninggal dunia.
"Lebih menyedihkan, dari segi perundangan tanah yang dibeli pada harga puluhan ribu ringgit itu sebenarnya masih menjadi hak pemilik asal kerana ia tidak dipindah milik secara rasmi kepada pembeli," katanya.
Apa Itu Tanah Lot Lidi? Lihat Risiko Jika Beli Tanah Ini
Beliau berkata, pada masa sama, pembeli tanah lot lidi, tidak layak mendapat pampasan jika tanah diambil oleh kerajaan.
"Jika tanah lot lidi itu diambil kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah, pembeli tidak layak untuk mendapat pampasan dan bayaran diberikan kepada pemilik berdaftar, " katanya.
Beliau menasihatkan individu yang ragu mengenai status yang ingin dibeli untuk dapatkan nasihat perundangan yang tepat untuk elakkan pembelian lot tanah lidi.
"Bukan mudah untuk mendapatkan semula wang yang sudah dibayar kepada penjual tanah lot lidi.
"Jika perlu dapatkan nasihat daripada peguam mengenai tindakan perundangan yang boleh dilakukan. Namun tiada jaminan untuk dapatkan semula duit tanah yang dibayar," katanya. - HMetro
Tiada ulasan